LEMBAGA Pengarah Perak FC mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang telah menghadiri perlawanan di Stadium KLFA baru-baru ini menentang PDRM FC bertempat di Cheras.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bagi pihak Lembaga Perak FC turut memberi sokongan penuh dan kepercayaannya kepada Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah dalam pengurusan skuadnya.

“Kami memahami kekecewaan peminat, namun kami akan terus berusaha untuk memastikan Perak FC adalah pasukan bola sepak yang boleh dibanggakan oleh peminat setia bola sepak Perak.

“Kami yakin bahawa Yusri Che Lah akan melakukan yang terbaik dalam membentuk pasukan yang baru dan menghasilkan pemain yang kompetitif.

“Mereka pasti akan mengekalkan gaya permainan yang pantas dan menarik seperti skuad The Bos Gaurus yang lama,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurutnya lagi, pihaknya mengucapkan terima kasih atas sokongan peminat The Bos Gaurus yang tidak berbelah bahagi dan akan berjumpa mereka pada 16 Julai.

“Kami berharap kehadiran anda akan menjadikan stadium tercinta kami sebagai kubu kuat Perak FC.

“Ayuh kita “Rise as One” bersama-sama!

“Kejor Yob Kejor! ,” katanya.