PERSATUAN Bola Tampar Malaysia (Mava) memandang serius insiden seorang jurulatih bola tampar Bawah 14 Tahun yang menampar dua pemainnya.

Insiden yang menjadi tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai pihak yang mengecam jurulatih yang dipercayai dari pasukan Melaka ketika saingan Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 Tahun berlangsung.

Menurut kenyataan Mava, pihaknya telah mengambil langkah untuk menubuhkan satu Badan Siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan seta-merta.

“Mava juga akan berhubung dengan pihak-pihak yang berkaitan serta pihak berkepentingan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih bola tampar Melaka B-14 dikecam tampar dua atlet wanita

“Dan sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekasaran ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Mava,” jelas kenyataan daripada Lembaga Disiplin Mava.

Tambahnya, buat masa kini jurulatih yang berkenaan telah digantung daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti Bola Tampar Kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Semasa kejadian, ia melibatkan perlawanan tempat ketiga dan keempat bagi kategori wanita menyaksikan Melaka menentang Johor di SJK (C) Pei Hwa.