KETIKA tumpuan terarah kepada ketidakpastian Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong ke dalam skuad Piala Thomas negara, Leong Jun Hao menenangkan diri atas kemungkinan menggalas cabaran besar sebagai perseorangan utama.
Tanpa Zii Jia dan Tze Yong, aksi pemain perseorangan lelaki negara, sudah pasti bakal diketuai Leong Jun Hao di kejohanan yang bakal berlangsung hujung bulan ini di Chengdu, China.
Bagaimanapun, buat masa sekarang pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui tumpuannya hanya terarah kepada persiapan diri sendiri tanpa memikirkan dua lagi perseorangan utama negara akan menyertai atau sebaliknya.
“Saya hanya fokus kepada diri saya sendiri, pada situasi sekarang saya harus memberikan persembahan terbaik,” katanya, yang menjadi perseorangan ketiga ketika di Piala Thomas Bangkok 2022.
Pengalaman yang diraih ketika di Bangkok dua tahun lalu akan digunakan sebaik mungkin walaupun ketika itu skuad negara dikejutkan India apabila tumbang 2-3 di suku akhir.
“Memang pengalaman yang saya peroleh dua tahun lalu akan digunakan untuk membantu pasukan. Paling penting ialah saya harus melalukan yang terbaik di ketika itu (dalam gelanggang di Piala Thomas).
“Sekarang adalah masa terbaik untuk melakukan persiapan kerana kami mempunyai tiga minggu lagi sebelum menyertai Piala Thomas. Apa pun saya perlu bersedia jika ditakdirkan menjadi perseorangan utama,” kata pemain berusia 25 tahun itu.
Ketika masalah kecederaan Tze Yong belum pulih sepenuhnya, Zii Jia pula sudah mempunyai perancangan tersendiri, sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris, Julai hadapan.
Tze Yong, 23, mengalami kecederaan belakang pada saingan Terbuka Malaysia, Januari lalu, sekali lagi mengalami kesakitan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada Februari sehingga menjalani pembedahan, sekali gus memaksanya akur terlepas tiket ke Paris 2024.
Pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Februari lalu, Jun Hao terpaksa beraksi sebagai perseorangan pertama pada perlawanan akhir menentang China yang menyaksikan Malaysia tewas 3-0.
Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia berada satu kumpulan bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.