LEONG Jun Hao mahu meninggalkan impak pada saingan KL Masters yang akan bermula Selasa depan, dengan meletakkan sasaran juara di Stadium Titiwangsa itu.

Pemain ranking ke-40 dunia itu, dilabel sebagai pilihan kedua kejohanan, berpeluang menambah gelaran kejohanan berstatus Super 100, selepas merangkul juara di Indonesia Masters tahun lalu, sekali gus memburu gelaran Jelajah Dunia BWF kedua dalam keriernya.

Mengakui dihantui kecederaan pada suku akhir Terbuka Arctic di Vantaa, Finland dua minggu lalu, Jun Hao menegaskan dia sudah bersedia untuk memberi yang terbaik di laman sendiri.

Leong Jun Hao berterima kasih kepada Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar kerana memberi cabaran yang baik di final perseorangan lelaki. Pix BAM

“Persiapan berjalan dengan baik, sebaik saya pulang ke Malaysia, saya terus menjalani pemulihan. Sekarang sudah 100 peratus bersedia.

“Waktu di Terbuka Arctic, gaya permainan saya semua sudah ok, cuma saya mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri (menentang Lee Zii Jia).

“Saya memang harap kalau boleh untuk meraih gelaran juara di laman sendiri,” kata Jun Hao ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Leong Jun Hao sudah beraksi baik namun sering dibatasi kecederaan berulang.

Jun Hao mendapat bye di pusingan pertama KL Masters dijangka membuat perhitungan sama ada dengan pemain Australia, Ricky Tang atau pemain daripada pusingan kelayakan pada aksi pusingan kedua.

Ujian sebenar bekas juara remaja Asia 2017 itu, bermula di suku akhir apabila dijangka berdepan bekas juara remaja dunia 2022 dari Taiwan, Kuo Kuan Lin sekiranya masing-masing berjaya melangkah ke kelompok lapan terbaik.

“Saya tidak pernah lawan dia sebelum ini tetapi saya tidak mahu terlalu fikir mengenai perkara itu. Saya mahu fokus satu demi satu perlawanan.

“Apabila tiba waktunya saya bertemu dengan dia, saya akan bincang dengan jurulatih bagi menghadapinya nanti,” kata Jun Hao.