PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menamakan 21 pemain ke Sukan Sea Kemboja, diketuai Leong Jun Hao.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann berkata, selain Jun Hao, tanggungjawab perseorangan lelaki akan turut digalas Justin Hoh.
“Selain Jun Hao, Justin, seorang lagi perseorangan lelaki adalah Ong Ken Yon.
“Manakala perseorangan wanita digalas Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching,” kata Choong Hann, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat.
Menurut beliau, sasaran tentunya terarah kepada acara individu perseorangan lelaki, berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang dimiliki Jun Hao dan Justin.
“Kita sasarkan satu pingat… lebih realistik dalam acara perseorangan lelaki.
“Itupun bergantung kepada siapakah pemain yang akan disenaraikan skuad negara lain seperti Indonesia dan Thailand.
Namun yang pasti, kita menurunkan barisan pemain muda untuk tujuan pendedahan dan jika Thailand menurunkan Kunlavut Vitidsarn sekalipun… ia akan memberi pendedahan kepada pemain kita,” kata Choong Hann.
Kunlavut, pemain muda Thailand yang baru berusia 21 tahun, kini sudah berada di ranking ketujuh dunia.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengumumkan tujuh pemain lelaki, lapan pemain wanita daripada acara beregu.
“Pemain paling senior kita pilih adalah berusia 23 tahun seramai tiga orang, yang lain adalah berusia 22 hingga 17 tahun.
“Dalam beregu lelaki, kita pertaruhkan gandingan Goh Boon Sze dan Rayner Beh, bagi beregu campuran, kita pertaruh gandingan Yap Roy King dan Yap Ling,” kata Rexy.
Selain itu, Rexy turut mengumumkan Chia Wei Jie, Liew Xun dalam beregu lelaki, sementara beregu wanita gandingan kembar Cheng Su Hui, Cheng Su Yin, Valleree Siow, Lee Xin Jie, Low Yeen Yuan.
Pemain beregu campuran lain yang akan dibawa ke Sukan Sea Kemboja adalah Chong Hon Jian, Lee Shin Yang, Cheng Su Yin dan Ong Xin Yee.
“Kita sasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa… ini sasaran awal kita berdasarkan senarai pemain yang kita turunkan, tanpa mengetahui perancangan negara lain,” kata Rexy.