BEKAS pemain pertahanan Real Madrid, Vinicius Tobias, berdepan dengan satu situasi ‘serba salah’ selepas mencacah tatu nama anak yang bukan miliknya.
Pemain Brazil berusia 20 tahun yang kini bermain untuk Shakhtar Donetsk itu telah menyambut kelahiran bayi perempuannya, Maite, bersama bekas isterinya, Ingrid Lima, pada 8 Oktober.
Sebagai tanda penghormatan kepada kelahiran anaknya, Tobias telah mencacah tatu perkataan “Maite, I love you” di lengannya.
Namun, baru-baru ini, influencer terkenal itu mendedahkan bahawa hubungan mereka tidak stabil ketika Maite dikandung.
Lima juga mengesahkan bahawa ujian DNA telah membuktikan bahawa Tobias bukanlah bapa kandung kepada Maite.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial, Lima menerangkan segala masalah yang sedang hangat diperkataan antara dia dan Tobias.
“Saya ingin memberikan penjelasan tentang sesuatu yang semakin merumitkan sehingga saya terpaksa memberi penjelasan kepada umum.
“Vinicius dan saya sudah lama tidak bersama. Semasa tempoh itu, saya menjalinkan hubungan dengan seseorang dan begitu juga dia.
“Kami berdua telah meneruskan kehidupan masing-masing dan dalam tempoh itu, Maite telah dilahirkan. Kami memutuskan untuk melakukan ujian DNA, dan Maite bukanlah anak kepada Vinicius,” katanya.
Sehingga kini, Tobias belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan ujian DNA tersebut.
Pada tahun 2022, Real Madrid telah meminjam Vinicius dan dia menghabiskan dua tahun di ibu kota Sepanyol, dengan membuat satu penampilan bersama pasukan senior.
Walaupun situasi peribadi mengejut ini sedang melanda Tobias, karier bolanya masih terus berjalan di Ukraine bersama Shakhtar Donetsk.