HARAPAN emas dalam acara 200 meter (m) lelaki wanita tidak menjadi kenyataan, namun pingat gangsa dimenangi Zaidatul Husniah Zulkifli, setidak-tidaknya mengubati kehampaan.

Atlet berusia 30 tahun itu mengakui, pada awalnya dia enggan mengambil bahagian dalam acara berkenaan, namun tidak menyangka berjaya meraih gangsa selepas enam tahun gagal melakukannya.

“Saya tak nak masuk tapi coach Poad (Mohd Poad Md Kassim) nasihatkan ambil bahagian, Alhamdulillah dapat naik podium,” kata Zaidatul selepas tamat perlumbaan.

Menurutnya, kali terakhir dia menaiki podium dalam acara 200m, ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2017, dengan memenangi perak pingat.

Dalam perlumbaan 200m, Zaidatul Husniah yang diletakkan harapan untuk mencipta kejutan mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 23.60 saat (s).

Aksi yang berlangsung di Stadium Morodok Techo itu menyaksikan wakil dari Singapura Veronica Shanti Pereira membawa pulang emas (22.69s) manakala perak pula milik pelari Vietnam Thi Nhi Yen Tran (23.54s).

Seorang lagi wakil negara, Nur Afrina Batrisyia Lukman Muammad Rizal menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas mencatat masa 24.09s.

Nasib malang menimpa pelari 200m lelaki negara apabila Jonathan Nyepa mengakhiri saingan ditempat keempat manakala Muhammad Arsyad Md Saat pula menarik diri kerana kecederaan.

Pingat emas untuk kategori 200m lelaki dimenangi pelari Thailand Soraoat Dapbang dengan catatan maa 20.62s, perak milik Vietnam, Ngoc Nghia Ngan (20.84s) dan gangsa milik Indonesia Lalu Muhammad Zohri (21.02s).

“Sasaran awal hanya untuk masuk final dan Alhamdulillah berjaya membawa pulang pingat untuk negara. Kejayaan ini meniup semangat untuk sumbang emas dalam acara 4X100 m wanita kelak,” katanya.