KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menilai pasukan Perak FC tidak bermain terlalu agresif pada aksi di Ipoh berbanding ketika bertembung di saingan Piala FA minggu lepas.

Ujarnya, ketika itu pasukan lawan betul-betul menghadirkan tekanan dan 100 peratus menekan pemainnya sepanjang permainan.

“Hari ini lepas kena satu gol mereka dah down. Saya dapat lihat hantaran daripada penjaga gawang mereka yang keluar, nampak semua down.

“Kita nampak mereka semua kecewa. Jadi kita tahu, kita dominasi sahaja. Kita kawal permainan dan biarkan mereka datang,” katanya selepas perlawanan di Stadium Perak.

Kesebelasan utama pasukan Sri Pahang FC menentang Perak di Ipoh pada Khamis.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Singapura itu mengakui penampilan anak buahnya belum cukup konsisten dan berharap segala permasalahan ini segera diatasi.

“Saya akui pemain Pahang tidak konsisten. Mudah-mudahan kita mendapat (kembali bersama pasukan) lagi satu atau dua orang pemain yang cedera dan dapat bantu kita.

“Pasalnya, kita masih buat penggiliran pemain. Mungkin satu atau dua permainan lagi kita dapat atasi masalah ini,” katanya.

Tambah Fandi, dia gembira melihat Zuhair Aizat Nazri yang masuk sebagai pemain gantian dan berjaya menyumbang jaringan buat Tok Gajah.

“Dia baru sembuh daripada kecederaan dan cetak gol. Bagus untuk dirinya selepas lama tak bermain,” katanya.