KONTINJEN Malaysia berjaya menamatkan saingan dalam kedudukan keempat terbaik pada temasya Sukan Para Asean 2023 di Kemboja.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, pihak kementerian serta seluruh negara turut merasa bangga berikutan atlet berjaya melepasi sasaran emas yang telah ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Bila kita lihat data, daripada 50 pingat emas, 26 datang daripada sukan renang dan 14 daripada sukan olahraga dimana ianya selari dengan resipi yang telah kita nyatakan.
“Dengan kejayaan mereka, Majlis Sukan Negara (MSN) akan melihat peruntukan yang mereka boleh letak setiap tahun bagi membantu atlet para kita untuk lebih berjaya,” kata Hannah kepada media selepas majlis menyambut kepulangan atlet para di KLIA pada Sabtu.
Jelas Hannah, walaupun atlet para berjaya melebihi sasaran pingat emas namun sesi post-mortem tetap akn dilakukan bagi melihat sebarang penambahbaikan yang boleh dilakukan.
Pihak KBS juga akan duduk semeja dengan MPM bagi berkongsi resipi kejayaan selepas semua data post mortem selesai dihantar oleh persatuan kebangsaan.
“MPM telah memaklumkan kepada kita beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bersama MSN dan Datuk Subramaniam menjadi wakil MSN juga akan memberikan laporan dalam perjumpaan minggu hadapan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hannah juga mengucapkan syabas serta tahniah diatas kejayaan kerjasama yang terjalin antara MPM dan MSN sekaligus telah mewujudkan golongan atlet terbaik dalam negara seperti mereka.
Sebagai rekod, pada Sukan Para Asean 2022 kontinjen negara mengumpul 36 emas, 20 perak dan 13 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan adalah 69 pingat.
Bagi tahun ini, prestasi dilihat lebih baik apabila berjaya meraih 50 pingat emas, 34 pingat perak dan 38 pingat gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 122 pingat.