PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan biarpun pelbagai insiden sedang menyelebungi badan induk bola sepak negara.

Bagi Hamidin, langkah meletak jawatan di FAM tidak akan menyelesaikan masalah yang melanda dan apa yang paling penting ketika ini ialah usaha bersama untuk memulihkan kekusutan dalam industri bola sepak negara.

“Saya tahu apa saya buat. Saya buat ikhlas untuk bola sepak. Sebarang kenyataan adalah tanggapan masing-masing. Apa yang berlaku ketika ini kita serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya selepas hadir melawat pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim di hospital pada Rabu.

Hamidin tahu tugasnya sebagai Presiden FAM

Sebelum ini, pelbagai perkara menyelubungi industri bola sepak negara bermula dengan surat layang yang mendedahkan beberapa ‘masalah’ dalam FAM yang sekali gus memberikan kesan kepada badan induk bola sepak negara itu.

Tidak cukup dengan itu, tiga insiden serangan ke atas dua lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim serta bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim seakan memberikan bayangan ada sesuatu yang tidak kena dalam industri ini.

Terbaharu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata polis akan menyiasat kes serangan ke atas tiga pemain bola sepak negara sekiranya ia berkait dengan ‘surat layang’ yang dilempar kepada FAM Mac lalu.

Pihak polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut kes berkaitan serangan tiga pemain

Mengulas isu itu, Hamidin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kemungkinan mengenai surat layang itu dan FAM sentiasa akan memberikan kerjasama penuh.