PERIT menanggung bebanan yang telah lama terpendam, Marko Simic mengakui tidak dibayar gaji selama setahun oleh kelab Persija Jakarta sebelum memilih ‘angkat kaki’ dari saingan Liga 1 Indonesia walaupun berbaki kontrak semusim.
Pernah beraksi untuk Negeri Sembilan dan Melaka United pada musim 2017, Simic hanya mencatat 27 kali penampilan dan kerap dikeluarkan pada babak kedua sebanyak 12 kali.
“Dengan berat hati saya mengumumkan menamatkan kontrak sebelah pihak dengan Persija Jakarta (26 April 2022) kerana kelab telah melanggar kontrak selepas tidak membayar gaji selama satu tahun,” tulis Simic di akaun media sosialnya.
Sepanjang memperkuat Persija sejak 2018, Simic kerap membarisi kesebelasan dan jarang diganti oleh pemain lain.
Simic bermain 30 kali di Liga 1 2018 dan 32 kali di Liga 1 2019. Dalam dua musim itu, hanya tujuh kali Simic digantikan pemain lain.
Manakala, semasa Liga 1 2020 yang berdepan isu Covid-19, Simic bermain penuh 90 minit dalam dua perlawanan.
Penampilan terakhirnya bersama Persija adalah minggu ke-28 Liga 1 ketika bertemu Persib Bandung pada 1 Mac lalu.
Meskipun penampilan dikatakan menurun, namun masih mampu menghasilkan 14 gol daripada 27 penampilannya.