PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyerap semula pemain perseorangan wanita, K.Letshanaa ke dalam skuad kebangsaan, berkuatkuasa 1 Mac 2023.

Pengumuman itu dibuat BAM menerusi satu kenyataan yang diedarkan kepada media, hari ini.

“BAM berbesar hati mempunyai pemain berpotensi kembali menyertai skuad kebangsaan. Sudah tentu kehadirannya akan memberi kesan dan memperkukuh kekuatan pasukan wanita negara,” kata BAM dalam kenyataan yang diedarkan.

Menurut BAM, Letshanaa mula dipanggil menyertai kem kebangsaan ketika usia 17 tahun, pada 2020, mempamerkan potensi yang luar biasa termasuk meraih gelaran bawah 18 tahun (B-18) dan Cabaran Antarabangsa Mauritius.

Namun, malang menimpa Letshanaa apabila mengalami kecederaan belakang yang memaksanya meninggalkan badan induk badminton negara itu.

BAM mengumumkan K Letshanaa sertai badan induk badminton negara berkuat kuasa 1 Mac ini.

“Persatuan memantau rapat perkembangannya ketika menjalani proses pemulihan dan komitmen ditunjukkannya amat mengagumkan,

“BAM akan berkerja bersamanya untuk membantu perkembangan dan kemajuan pemain ini.”

Semalam, Letshanaa mempamerkan prestasi cemerlang apabila merangkul kejuaraan Cabaran Antarabangsa Uganda, yang turut menyaksikan Justin Hoh muncul juara perseorangan lelaki.