PEMAIN perseorangan wanita negara, K. Letshanaa, menegaskan dia bukan sekadar pelengkap skuad apabila sekali lagi diberi kepercayaan menyarung jersi Malaysia ke Piala Sudirman 2025 yang bakal berlangsung di Xiamen, China, hujung April ini.
Menjadikan penampilan ketiga berturut-turut dalam kejohanan berpasukan campuran itu, Letshanaa, 21, tampil dengan keyakinan baharu hasil latihan intensif serta persaingan sihat bersama bekas juara dunia remaja, Goh Jin Wei.
“Kalau saya diturunkan, saya akan beri 100 peratus. Kami pemain wanita pun mahu sumbang mata, bukan hanya jadi pelengkap. Berlatih dengan Jin Wei banyak bantu tingkatkan momentum dan keyakinan saya,” katanya, ketika ditemui selepas sesi latihan pusat skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

K Letshanaa
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama pasukan pilihan, Jepun, serta Perancis dan Australia, dalam edisi yang menawarkan laluan mencabar buat anak buah Rexy Mainaky untuk mara ke suku akhir.
Letshanaa mengakui tekanan tetap dirasai dalam kejohanan berpasukan, namun lebih selesa melihat peluang ini sebagai satu pengalaman berharga untuk menguji kematangan permainan serta semangat berpasukan yang semakin utuh.
“Tekanan tetap ada, tapi saya cuba nikmati perlawanan dan bantu pasukan sebaik mungkin. Kami juga dah lama jalani latihan bersama, jadi komunikasi dengan rakan sepasukan lebih mantap sekarang,” jelasnya.

K Letshanaa
Dia turut mengakui peningkatan ketara dari segi konsistensi permainan dan aspek mental yang menjadi fokus utama jurulatih dalam kem latihan menjelang kejohanan yang akan bermula 27 April hingga 4 Mei itu.
Dengan rekod gangsa pada dua edisi lalu di Suzhou, China; dan Vantaa, Finland, Malaysia meletakkan harapan tinggi untuk menambah koleksi podium dalam kejohanan yang masih belum pernah dimenangi sejak penyertaannya pada 1989.