SEDIA untuk berdepan regim latihan lebih mencabar, demi memastikan ranking dunia ke kedudukan lebih baik selepas ini.

Begitulah keazaman pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa yang tampul lebih yakin di Kejohanan Badminton Super 100 Malaysia, di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pemain kelahiran Selangor itu berkata, dia yg menjalani latihan di bawah jurulatih K Yogendran sebelum ini giat merapikan fizikal untuk mendapatkan tahap kecergasan dan ketahanan lebih tinggi.

K Letshanaa kelihatan lebih kurus dan cergas di gelanggang.

“Ya, saya hilang lagi 6 kilogram (kg), saya lebih cergas dan kurus berbanding sebelum ini. Malah saya dapat rasakan graf prestasi saya menaik dengan keadaan fizikal ini.

“Saya akan bersedia untum menghadapi regim latihan lebih mencabar fizikal selepas ini, kerana saya tahu jurulatih Jeffer (Rosobin) lebih cenderung membentuk fizikal pemain, sata teruja untuk lebih fit selepas ini,” kata Letshanaa, selepas menempah tiket ke suku akhir Super 100 Malaysia.

Menurutnya, dia bersungguh-sungguh menurunkan berat badan selepas mendapati, tahap kecergasan menjadi pemutus keputusan setiap kali dia menyertai kejohanan.

“Saya dan jurulatih sependapat, sama ada menang atau kalah dalam satu-satu perlawanan… tahap kecergasan yang membezakan saya dan lawan.

“Jadi, kami berkerja keras untuk mendapatkan tahap kecergasan yang lebih baik,” kata Letshanaa.

Terdahulu, Letshanaa, 21, yang juga pilihan ketujuh kejohanan, mengatasi pemain Taiwan Peng Yu Wei 21-9, 21-17 untuk menempah pertemuan suku akhir dengan pilihan keempat dari Jepun, Asuka Takahashi.

Ong Xin Yee mahu terus lakar kejutan.

Melengkapkan prestasi terbaik pemain wanita kebangsaan apabila Ong Xin Yee mengejutkan pilihan kelapan dari Thailand, Lalinrat Chaiwan untuk Malaysia memiliki dua wakil di suku akhir, esok.

Bagi Xin Yee, dia menyedari lawannya itu lebih senior tetapi itu tidak menghalang dirinya untuk menampilkan prestasi terbaik sambil mengambil peluang hasil beberapa kesilapan daripada lawanya.

“Saya tidak fikir banyak mengenai siapa lawan saya dan saya berikan yang terbaik dalam perlawanan ini. Malah saya tidak terlalu hormat lawan, dalam masa sama lawan tidak bermain dengan baik hari ini ” kata Xin Yee.

Xin Yee ke suku akhir selepas menewaskan pikihan kelapan, Lalinrat 16-21, 22-20, 23-12 dalam masa 53 minit.

Di suku akhir nanti, dia akan berdepan pemain Jepun, Akari Kurihara yang mara selepas menyingkir wakil Taiwan, Lee Yu-Hsuan 21-12,21-19.