PELARI pecut Botswana, Letsile Tebogo mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas acara 200m sekali gus menafikan hajat pelari Amerika Syarikat, Noah Lyles untuk menjadi juara berganda di Sukan Olimpik Paris 2024.
Tebogo, 21, mempamerkan larian pantas untuk mencipta rekod baharu Afrika dengan 19.46 saat untuk mengatasi seorang lagi pelari Amerika Syarikat, Kenneth Bednarek yang menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan catatan masa 19.62 saat.
Sementara Lyles yang menjadi manusia terpantas di final 100m pada Ahad terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa seperti yang dimenanginya di Temasya Tokyo 2020 dengan catatan masa 19.70 saat.
Selepas tamat perlumbaan, Lyles didapati dijangkiti Covid-19 dan terpaksa diusung menggunakan kerusi roda untuk dibawa ke hospital namun keadaannya terkawal dan dia gembira dengan pingat gangsa yang dimenanginya berdasarkan keadaan dirinya ketika itu.
Tebogo mendedikasikan kemenangan ini kepada mendiang ibunya, Seratiwa yang meninggal dunia Mei lalu dengan menunjukkan tarikh lahir ibunya yang dipamerkan di kasut yang digunakan untuk berlari dan memenangi emas.
“Saya sentiasa membawa semangat ibu dalam setiap langkahan saya di trek dan ini memberikan saya motivasi tambahan kerana dia sedang melihat saya dari atas dan dia sangat-sangat gembira dengan kejayaan ini,” katanya selepas perlumbaan.
Kemenangan ini adalah pingat emas pertama buat Botswana di Sukan Olimpik dan kini nama Tebago akan disebut sebagai salah satu pelari terbaik pernah dilahirkan selepas Usain Bolt.