JUARA Liga Jerman, Bayer Leverkusen bersedia untuk menjadi pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga untuk mengharungi sepanjang musim tanpa kalah, ujar jurulatih Xabi Alonso selepas, membelasah VfL Bochum 5-0 semalam.

Leverkusen yang mengejar tiga kejuaraan melepasi halangan Bochum, dimana Felix Passlack dilayangkan kad merah pada minit ke-15, untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka yang luar biasa dalam semua pertandingan musim ini kepada 50 perlawanan berturut-turut, dengan baki satu perlawanan dalam Bundesliga.

Pada Khamis, pasukan kendalian Xabi Alonso melepasi rekod tanpa kalah Eropah milik Benfica yang telah lama dicatat dari 1963 hingga 1965 dengan keputusan seri 2-2 menentang AS Roma yang membawa mereka ke final Liga Europa.

Rekod tidak kalah Leverkusen menjadi 50 perlawanan selepas menumpaskan Bochum 5-0. (Sumber Gambar: Reuters)

Kemenangan hari Ahad ke atas Bochum juga bermakna mereka hanya menjadi pasukan ketiga dalam sejarah Bundesliga yang kekal tidak tewas dalam setiap perlawanan di tempat lawan dalam semusim.

“Selepas kad merah itu, ia adalah permainan yang berbeza sekali untuk kami,” kata Alonso pada sidang media selepas perlawanan.

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan itu. Ia penting untuk kami. Sekarang kami mempunyai matlamat hebat pada hari Sabtu untuk memenangi kejuaraan tanpa sebarang kekalahan. Itu tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Leverkusen, yang akan menentang Atalanta dalam perlawanan akhir Liga Europa dan menentang Kaiserslautern dalam perlawanan akhir Piala Jerman pada Mei nanti, akan melayan Augsburg di tempat sendiri pada perlawanan akhir Bundesliga Sabtu ini di mana mereka juga akan menerima trofi liga pertama mereka.

“Untuk menerima gelaran di Leverkusen akan menjadi sangat istimewa. Pemain telah memberi tumpuan sepanjang musim jadi bagi mereka ia akan menjadi sangat istimewa. Saya bangga dengan mereka,” kata Alonso.