PEMAIN badminton para perseorangan negara, Cheah Liek Hou meneruskan prestasi cemerlang dengan menyapu bersih dua pingat emas pada kejohanan Badminton Para Sepanyol Antarabangsa 2024 (Tahap 2) di Vitoria-Gasteiz, Sepanyol.
Kecemerlangan juara dunia berusia 36 tahun itu bermula apabila merangkul emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-13, 21-8 pada perlawanan akhir.
Beliau meneruskan rentak kemenangannya apabila bergandingan dengan Muhammad Fareez Anuar pula untuk menjuarai beregu lelaki SU5 yang mengatasi gandingan India, Rajkumar-Chirag Baretha, 21-16, 21-19 dalam masa 29 minit.
“Kami akan bertolak ke Toledo selepas ini untuk ke Kejohanan Level 1 seterusnya yang akan bertanding di Sepanyol juga.
“Saya cuma berharap saya dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan di Toledo minggu depan demi negara.
“Terima kasih banyak kepada semua yang telah menyokong saya terutamanya penaja yang sering percaya kepada saya akan cemerlang di pertandingan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Cheah Liek Hou merupakan juara dunia para badminton perseorangan lelaki sebanyak lapan kali serta pemegang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020.