CHEAH Liek Hou muncul juara Kejohanan Antarabangsa Sepanyol Toledo dengan menewaskan pemain Taiwan, Fang Jen-Yu dengan keputusan 21-7, 21-13 dalam perlawanan akhir pada Ahad.

Kemenangan itu sekali gus menebus kekecewaannya yang tewas minggu lalu.

Bagaimanapun, Liek Hou mengakui kemenangan itu hadir ketika dia tidak berada di tahap terbaik kerana mengalami selesema dan batuk sepanjang berada di Eropah.

Dia yang beraksi dalam kategori SU5 tetap gigih mengenepikan semua faktor itu untuk mendapatkan semula rentak kemenangan selepas tewas kepada seteru utama, Deva Anrimusth pada Kejohanan Antarabangsa Para Sepanyol minggu lalu, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah 75 perlawanan yang dipegangnya sejak 2019.

Foto: IG Cheah Liek Hou

Lebih manis, kemenangan ini juga merupakan hadiah untuk sambutan hari jadinya yang ke-35 pada Rabu ini.

“Saya berdepan dengan banyak cabaran sepanjang saya berada di sini (Sepanyol) kerana saya tidak begitu sihat. Cuaca di sini juga sangat ekstrem dan kadang kala menurun sehingga bawa -4 celcius.

“Saya terpaksa mengambil ubat untuk bertahan dan bersyukur berjaya ke perlawanan akhir untuk memenanginya. Saya akan menjadikan pengalaman beraksi dalam cuaca sejuk di sini sebagai satu pengajaran yang berguna dalam karier saya,” kata Liek Hou.

Selepas ini Liek Hou akan terbang ke Rio de Janeiro bulan depan untuk beraksi di Kejohanan Antarabangsa Para Brazil sebagai medan mengutip mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.