KETIKA sanak saudara dan rakan-rakan dalam mood meraikan sambutan Tahun Baru Cina, pemain badminton paralimpik negara, Check Liek Hou pula berada dalam situasi berbeza apabila akan turun ke gelanggang menjalani latihan pada hari ketiga perayaan.

Pastinya sambutan tahun ini agak sederhana dan berbeza memandangkan dia terpaksa mengorbankan suasana tersebut sebagai persedian perlawanan memburu tiket ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kategori SU5 (kecacatan tangan) ini perlu mempersiapkan diri menghadapi beberapa kejohanan yang akan berlangsung Februari ini.

Dinobatkan Ikon Sukan Paralimpik pada majlis Anugerah Ikon Sukan , baru-baru ini.

Ujarnya, kejohanan yang akan disertainya itu sangat penting memandangkan ia bakal menawarkan tiket ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Tahun ini tiada sambutan besar diadakan kerana saya mahu manfaatkannya untuk berehat di rumah, dan mungkin berkunjung ke beberapa rumah sanak saudara.

“Hari ketiga saya akan kembali semula ke gelanggan menyambung latihan, akan beri tumpuan kepada kelayakan ke Paris 2024, kerana BWF (Perseketuan Badminton Dunia) akan menilai pencapaian enam kejohanan terbaik disertai setiap pemain

“Jadi saya akan cuba sedaya upaya menang kesemua enam kejohanan yang saya akan bertanding nanti,” tegasnya.

Mengulas persiapan mengharungi beberapa kejohanan tersebut, Liek Hou memaklumkan baharu pulih dari kecederaan tumit yang dialaminya pada hujung tahun lalu.

“Sebenarnya sebelum ini saya ada mengalami kecederaan bone spur di bahagian tumit Disember lepas. Tapi saya dah jumpa doktor dan sudah ambil cuti selama tiga minggu untuk memulihkan kecederaan ini.

“Jadi saya harap masalah ini tidak akan ganggu saya lagi terutama ketika menjalani latihan dan yang secara tidak langsung boleh meranapkan impian untuk layak secara merit ke temasya berkenaan,” katanya.