SAINGAN Liga A1 Semi Pro 2024-25 diteruskan lagi dengan enam perlawanan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Perlawanan minggu keempat ini menyaksikan perlawanan ‘clash of the top table’ diantara juara bertahan Imigresen FC dan pendatang baru liga yang mencipta kejutan, Bunga Raya Damansara FC.

Bunga Raya Damansara FC akan menjadi tuan rumah dalam perlawanan berdepan Imigresen FC di Stadium UiTM Shah Alam pada Ahad.

Thankgod Michael merupakan penjaring terbanyak liga dan The Mighty Tigers setakat ini dengan lima gol

Kedua-dua pasukan masih belum tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini untuk mengumpul mata penuh.

Bunga Raya Damansara FC memimpin liga dengan perbezaan jaringan bolos dan aksi ini dianggap ujian sebenar untuk menilai kelemahan dan kekuatan kedua-dua pasukan tersebut.

Imigresen FC pasti ingin mengharapkan penjaring terbanyak liga, Thankgod Michael untuk membantu pasukan mendapatkan tiga mata daripada perlawanan ini.

Bunga Raya Damansara FC masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan

Namun, barisan pertahanan The Mighty Tigers harus berwaspada dengan bekas pemain sayap negara, R. Kogileswaran yang kini bermain bersama pasukan yang berpangkalan di Damansara itu. Kogi kini telah menjaringkan tiga gol bersama pasukan baharu itu.

Perlawanan lain untuk minggu keempat menyaksikan PT Athletics akan melayan kunjungan pasukan dari Sarawak, Machan FC, PIB Shah Alam FC akan menjadi tuan rumah kepada Bukit Tambun FC dan Manjung City akan menghadapi cabaran pasukan Melaka FC. Kesemua perlawanan ini akan berlangsung pada Sabtu ini.

Pada Ahad pula, Armed Forces akan melayan kunjungan UiTM United, KL Rovers akan bertemu Harini FT dan perlawanan ‘clash of the top table’ diantara Bunga Raya Damansara FC dan Imigresen FC.