PASUKAN Imigresen FC kembali ke landasan kemenangan apabila berjaya menumpaskan PT Athletic dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan minggu ke-5 Liga A1 Semi-Pro yang berlangsung petang Sabtu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium UKM, Bangi itu menampilkan dua pasukan yang mempunyai kekuatan yang hampir sama.

PT Athletic menampilkan ramai pemain yang mempunyai pengalaman bermain di Liga Super manakala Imigresen FC pula turun dengan rata-rata pemain yang pernah menjuarai Liga A1 musim lalu.

The Mighty Tigers bermula garang apabila mereka mencari ruang-ruang kosong untuk memerangkap lawan.

Usaha anak buah Mat Zan Mat Aris itu berjaya disempurnakan dengan cantik apabila larian Hafiz Kamal gagal disekat sebelum mudah menolak masuk bola untuk menewaskan Nik Amin pada minit ke-27.

Namun, PT Athletic berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama apabila Faris Shah menjaringkan gol hasil tandukannya selepas sepakan percuma berjaya diambil oleh Indra Putra.

Thankgod Michael menjaringkan dua gol petang tadi

Pada babak kedua, Imigresen FC terus menekan skuad kendalian Nazrulerwan Makmor untuk mencari gol kemenangan.

Dua jaringan daripada Thankgod Michael pada minit ke-54 dan 68 memastikan The Mighty Tigers berjaya memperoleh tiga mata penting, sekali gus pasukan itu terus melonjak ke tangga teratas liga dengan 13 mata sementara PT Athletic mencatatkan kekalahan pertama musim ini.

Perlawanan ini juga dihiasi dengan beberapa insiden yang tidak diingini apabila terdapat beberapa pergaduhan antara pemain daripada kedua-dua pasukan berlaku namun ia berjaya dileraikan.