PENYANDANG juara MBSB Bank Championship, Imigresen FC tetap waspada dengan tentangan pasukan yang dinaikkan divisyen, UiTM United menjelang aksi sulung di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.
The Mighty Tigers bakal berkunjung ke laman juara Al Ikhsan Cup 2023 yang kini dikenali Liga A2 Amateur pastinya ingin memulakan saingan dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/2025 dengan langkah kanan.
Bagi ketua jurulatih IFC, Mat Zan Mat Aris, pertembungan juara antara juara ini pastinya sengit dan menarik walaupun ia merupakan aksi sulung buat kedua-dua pasukan.
“Kita sebenarnya tidak tahu kekuatan pasukan UiTM United tetapi apa yang penting pasukan perlu bersedia untuk hadapi mana-mana pasukan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro ini.
“Kalau kita lihat mereka layak selepas menjuarai Liga Al Ikhsan musim lalu, sudah tentu mesti ada kelebihan, jadi kita kena sediakan pasukan untuk berdepan lawan,” katanya.
Sementara itu, bagi pengendali UiTM United, Mohd Yazli Yahya mengakui berdepan pasukan lawan yang memiliki kualiti tersendiri sehingga mereka bergelar juara musim lalu.
“Bila sebut tentang lawan, saya rasa dari pemain, jurulatih hinggalah pengurusan semuannya mempunyai kualiti yang berkualiti dan sebagai pasukan baharu kami menghormati IFC.
“Namun dalam bola sepak semuanya boleh berlaku, pemain telah diberitahu bahawa inilah pentas terbaik buat kamu semua mempamerkan kualiti yang ada untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain.
“Menentang lawan malam esok, saya lebih memberikan tumpuan kepada persiapan pasukan dan mengharapkan barisan pemain tidak terlalu gugup apabila diturunkan,” tegasnya.
Kejohanan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/2025 akan memulakan tirai memburu kejuaraan bermula Sabtu dan Ahad ini dengan enam perlawanan bakal berlangsung melibatkan 15 pasukan bertanding.