KETUA jurulatih Bunga Raya Damansara FC, Federico Ezequiel Hernandez berkata perlawanan menentang Imigresen FC semalam merupakan satu perlawanan yang sukar.
Menurutnya, perlawanan itu diibaratkan seperti perlawanan akhir kerana kedua-dua pasukan masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah.
“Bagi saya, ini adalah satu perlawanan yang sukar tetapi menarik buat penyokong yang turun ke stadium.
“Kedua-dua pasukan mempunyai cara permainan yang berbeza dan kami bertembung pada perlawanan tadi (semalam) dan ia menghasilkan satu perlawanan yang berintensiti tinggi.
“Kami mencipta lebih banyak peluang sepanjang perlawanan berbanding mereka tetapi sayangnya pada separuh masa kedua selepas insiden kad merah oleh pemain lawan (Nasriq Bahrom), kita lebih banyak berhenti bermain sekaligus ia menganggu ritma permainan kami,” katanya selepas perlawanan.
Federico juga akui bahawa bahagian pertahanan Imigresen FC bermain dengan cukup baik untuk mematahkan setiap serangan mereka.
“Tahap Liga A1 ini sangat kompetitif walaupun ia bertaraf semi-pro jadi kami mesti mencuba sesuatu yang berbeza dalam permainan kami.
“Saya mungkin akan cuba membawa sedikit permainan bola sepak Argentina ke dalam pasukan dan saya percaya jika kita dapat selesaikan beberapa masalah, kami akan berada pada tahap yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Bunga Raya Damansara FC terpaksa berkongsi mata dengan Imigresen FC selepas kedua-dua pasukan itu mencatat keputusan seri 1-1 hasil jaringan oleh Hazim Abu Said (Imigresen) dan Farid Khazali (BR Damansara).