NAIB juara berganda Liga A1, Kuala Lumpur Rovers FC dijangka akan memohon ehsan Liga Bolasepak Amatur (AFL) bagi membantu penjadualan semula jadual perlawanan mereka, sekurang-kurangnya menangguhkan perlawanan hujung minggu ini iaitu menentang Malaysian University FC.
Pertolongan AFL dijangka dapat melegakan sementara pasukan yang kini menduduki tempat ketiga carta Liga A1 Semi-Pro yang berdepan masalah gaji tidak berbayar menghampiri empat bulan.
Selain masalah penarikan diri beberapa pemain dan jurulatih serta kitman, ramai pemain tidak dapat berlatih kerana terpaksa melakukan kerja sambilan termasuklah menjual nasi bungkus semata-mata untuk mendapatkan sedikit wang.
Menurut sumber pasukan, keadaan kewangan yang bermasalah yang dihadapi KL Rovers adalah berikutan tempiasan daripada krisis badan induk iaitu KLFA yang kini dilanda masalah gaji tidak berbayar sehingga tujuh bulan akibat tiada lagi sumbangan daripada penaja utama.
Menurut sumber kelab itu lagi, KL Rovers juga berharap pasukan lawan mereka akan memahami situasi tersebut dan bersedia bermain di tarikh akan datang menurut persetujuan dan arahan AFL.
Perkara ini adalah lebih baik dan perlukan pertimbangan positif semua pihak bagi memastikan liga ini tidak terpalit dengan masalah penarikan diri atau ke tidak hadiran pihak lawan atau kemenangan percuma yang akan menjejaskan reputasi liga ini.