PASUKAN Kuala Lumpur Rovers mendapat suntikan semangat untuk saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship 2024-25 apabila memeterai perjanjian dengan tiga rakan strategik dari dalam dan luar negara.
Dalam satu majlis pengenalan penaja dan jersi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zulfadzlie Ahmad menandatangani perjanjian bersama-sama wakil setiap syarikat penaja.
Jersi dan pakaian rasmi KL Rovers mendapat sentuhan syarikat dari Indonesia, FAT Sports yang diusahakan oleh Franky Adi Thama pada tahun 2013 dan terkenal dengan ‘glove’ penjaga gol.
FAT Sports juga bekerja sama dengan Tornado FC dan Kuansing United (Liga 3 Indonesia), Mendiola FC (Philippines Football League), dan pasukan negara Mariana Utara sebagai penaja utama hersi dan kelengkapan pasukan.
Naib juara Liga MBSB Bank Championship 2023 itu juga diperkuatkan dengan penajaan dari OPI iaitu minuman bertenaga, hidrasi dan protein keluaran Optastar Industries Sdn Bhd yang akan membantu untuk tenaga, pemulihan pantas serta sokongan otot pemain semasa dan selepas perlawanan.
Selain itu, pemakanan dan perapian pasukan juga dipastikan menepati standard kelab apabila Hustler Group bersetuju menjalin kerjasama sebagai rakan katering dan penjagaan rambut rasmi KL Rovers musim ini.
Skuad kendalian Wan Mustafa itu akan memulakan aksi Liga A1 bertemu Armed Forces FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Jun sebelum menentang UiTM United di Shah Alam pada 8 Jun.