PASUKAN Kuala Lumpur Rovers bertekad untuk terus kekal di puncak Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-25 apabila bertandang ke Kuching untuk bertemu Machan FC pada Sabtu.
Pengendali pasukan, Wan Mustafa Wan Ismail mengakui meskipun pasukannya menerima tempias ekoran kemelut yang melanda badan induk, KLFA dan skuad utama, Kuala Lumpur City FC, dia gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemainnya.
Dia turut mengakui persiapan pasukan sedikit terjejas dengan isu-isu di luar padang tetapi dia menuntut kesungguhan daripada para pemain bagi memastikan KL Rovers mengekalkan rekod cemerlang pada permulaan musim ini.
“Kemelut yang dihadapi badan induk KLFA dan pasukan utama KL City turut menjejaskan KL Rovers selain masalah kecederaan, penggantungan, Covid 19 sekali gus menjadikan persiapan pasukan kali ini tidak seperti yang diharapkan.
“Saya memuji tahap kesabaran dan kecekalan para pemain yang terus mengharungi sesi latihan serta bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedudukan pendahulu liga semampu yang boleh.
“Saya tetap menagih kesungguhan 100 peratus dari mereka dan yakin pemain-pemain pengganti mampu menggalas tugas untuk memastikan kami membawa pulang tiga mata penuh,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Wan Mustafa juga sedar pertukaran jurulatih yang dilakukan Machan FC sudah tentu akan membawa perubahan dari sudut taktikal dan dia mahu para pemainnya memberikan tumpuan ketika beraksi di dalam padang.
“Pertukaran kejurulatihan pasukan tuan rumah pasti menjanjikan pertembungan sengit serta penampilan taktikal baru yang bakal digunakan pengendali yang baru dan saya mahu pemain saya berikan segala-galanya untuk mengekalkan rentak cemerlang kami setakat ini,” jelasnya.
KL Rovers kini mendahului senarai Liga A1 Semi-Pro berkongsi 10 mata dengan tiga lagi pasukan – Bunga Raya Damansara, Imigresen FC dan Melaka FC namun dibezakan perbezaan jaringan.