PENGENDALI PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor tidak menyangka bahawa pihak lawannya, Machan FC mampu memberi saingan yang sengit kepada mereka dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro semalam.

PT Athletic terpaksa bekerja keras, dengan Machan mampu menyamakan jaringan pada separuh masa kedua sebelum anak buah Nazrulerwan Makmor berjaya mencuri tiga mata untuk menghasilkan keputusan 2-1.

“Saya memang tidak menyangka Machan mampu bermain sebaik ini. Jadi sebab itu saya cakap kita tak boleh pandang rendah dengan mana-mana pasukan.

Ketua Jurulatih PT Athletic, Nazrulerwan Makmor

“Mana-mana pasukan yang bermain dengan kita akan menunjukkan permainan yang terbaik dan cuba untuk memenangi perlawanan,” katanya selepas perlawanan.

Beliau juga mengakui bahawa pasukannnya agak bergelut hampir keseluruhan perlawanan namun pemainnya perlu terima kredit kerana berjaya mendapatkan tiga mata untuk pasukan.

“Pemain-pemain kita agak bergelut mungkin kerana kita bermain pada waktu petang dan seperkara lagi ialah permukaan padang yang agak lembik. Keadaan ini memaksa pemain-pemain saya untuk guna tenaga tambahan untuk bermain selama 90 minit.

“Yang penting kami kena memberi kredit kepada semua pemain serta Che Mohamad Arif dan semua pemain yang masuk masa separuh masa kedua. Mereka berusaha sehingga wisel penamat ditiupkan untuk mencari gol buat pasukan,” ujarnya lagi.

Dalam perlawanan semalam, PT Athletic yang berada di hadapan terlebih dahulu hasil jaringan Amri Yahyah pada minit ke-29. Machan berjaya menyamakan jaringan pada minit ke-63 selepas Azman Chuchu melakukan half volley di depan gawang gol PT Athletic.

Pasukan dari Putrajaya itu berjaya meraih tiga mata apabila Che Mohamad Arif yang baru sahaja dimasukkan beberapa minit sebelum itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-83 selepas menerima bola di udara oleh Amri Yahyah.

PT Athletic kini berada di kedudukan kelima dengan tujuh mata manakala Machan FC berada di kedudukan ke-14 dengan tiada mata dikutip.