JURANG pengalaman menjadi faktor yang membezakan skuad Malaysian University FT (MUFT) dengan PT Athletic FC ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga A1 Semi-Pro 2024-25 di Stadium MMU, Cyberjaya pada Ahad.
Perkara ini diakui sendiri oleh pengendali MUFT, Ridzuan Abu Shah yang akur pemain-pemainnya masih memerlukan banyak masa untuk mencapai tahap kematangan yang diperlukan dalam perlawanan kompetitif.
Ridzuan bagaimanapun berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya selepas berjaya menekan skuad kendalian Nazrulerwan Makmor sehingga minit-minit terakhir namun dia menerima kekalahan itu.
“Saya akui pasukan lawan lebih berpengalaman tetapi para pemain berusaha sehingga ke wisel penamat dan semangat pemain patut dipuji tetapi pengalaman masih menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan ini.
“Kami terapkan kepada pemain supaya tidak takut kepada lawan yang lebih berpengalaman dan ini meningkatkan lagi semangat pemain selain mereka juga semakin matang ketika beraksi dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
“Selepas ini pemain akan berhenti rehat seketika untuk beraksi di Sukan IPT dan kami akan perhalusi beberapa perkara yang sudah dikenalpasti untuk mengharungi baki tiga perlawanan pusingan pertama selepas ini,” katanya.
Meskipun menduduki tangga ketujuh dari 15 pasukan yang bertanding, Ridzuan menyatakan pasukannya seharusnya berada di kedudukan yang lebih baik jika tidak kerana melepaskan mata mudah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Jika dilihat pada tangga ketujuh ianya baik tetapi kita sepatutnya berada lebih tinggi jika masalah kelekaan pada minit-minit terakhir berjaya diatasi seperti ketika bertemu Melaka, Manjung City dan Imigresen FC,” jelasnya.
Dalam perlawanan minggu ke-12 itu, Malaysian University tewas 0-1 kepada PT Athletic hasil jaringan Hafiz Ramdan pada babak pertama dan terlepas peluang mendapat satu mata selepas gagal menyudahkan penalti pada minit akhir.