PASUKAN Kuala Lumpur Rovers menggunakan perlawanan Pusingan 16 Piala FA 2024-25 menentang Sabah FC sebagai pengalaman untuk beraksi cemerlang dalam empat perlawanan awal Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025.

Pengendalinya, Wan Mustafa Wan Ismail mengakui pengalaman itu digunakan sebaiknya oleh para pemain terutama ketika menewaskan Harini FT 6-0 sekali gus meletakkan mereka kini menerajui takhta liga dengan 10 mata.

Meskipun mencatat mata yang sama dengan tiga lagi pasukan, Bunga Raya Damansara FC, Imigresen FC dan Melaka FC, Kuala Lumpur Rovers mempunyai kelebihan perbezaan jaringan dan Wan Mustafa mahu para pemainnya kekal fokus dalam semua baki perlawanan liga.

Pemain-pemain KL Rovers meraikan jaringan ketika membelasah Harini FT 6-0 (kredit foto: KL Rovers)

“Penyertaan kami di dalam Piala FA tempoh hari terbukti menjadi pengalaman berguna ketika kami menewaskan salah satu pasukan pilihan, Harini FT 6-0 yang mempunyai dua orang pemain import.

“Pasukan masih lagi belum sampai ke tahap kecergasan penuh dan prestasi tertinggi yang diharapkan kerana persiapan kami bermula agak lewat dan saya jug hanya dipanggil semula bersama pasukan sebulan sebelum liga bermula.

“Pelbagai masalah awal musim masih dihadapi namun saya memuji tahap kesabaran para pemain yang terus mengharungi sesi latihan intensiti tinggi ketika pramusim yang singkat termasuk cabaran berlatih setiap hari bermula jam 2.30 petang.

“Kami bersyukur apabila tumpuan kami untuk berada di kelompok 5 terbaik menepati sasaran dan berharap kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada pemain,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Pengalaman beraksi di Piala FA bantu KL Rovers cemerlang di Liga A1 Semi-Pro (kredit foto: KL Rovers)

Naib juara liga musim lalu itu juga mahu pihak pengurusan menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi pasukan bagi memastikan mereka dapat terus mencipta kemenangan dalam cubaan layak ke Liga Super musim 2025-26.

“Kami juga berharap pengurusan pasukan untuk berusaha lebih gigih menyelesaikan segala masalah yang dihadapi supaya cabaran mengharungi liga akan lebih teratur dan berkesan untuk menjamin kejayaan di penghujungnya,” jelasnya.

Wan Mustafa sedikit lega apabila liga berhenti rehat seketika sekali gus dapat membantu dua bintang pasukan, Ahmad Syamim Yahya dan Gopi Rizki sembuh dari kecederaan yang dialami agar mereka dapat menambah kekuatan pasukan selepas ini.