JUARA bertahan Liga A1 Semi-Pro, Imigresen FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila seri 1-1 dengan Bunga Raya Damansara FC petang tadi.

Aksi keempat liga ini menampilkan dua pasukan yang berada di puncak liga sebelum perlawanan minggu keempat bermula dan ia merupakan satu perlawanan yang tidak mengecewakan dek kerana ia mempunyai drama dan aksi panas di dalam dan luar padang.

Separuh masa pertama menyaksikan Bunga Raya Damansara memberi tekanan terhadap kubu pertahanan Imigresen FC.

Ini memaksa barisan pertahanan tuan rumah untuk bekerja keras untuk mematahkan serangan yang digerakkan oleh gandingan R. Kogileswaran, Sunil Chandran dan Sachin Samuel.

Pasukan yang berpangkalan di Damansara itu mempunyai beberapa percubaan yang hampir menemukan jaringan menerusi Sunil Chandran dan Kogileswaran namun penjaga gol Imigresen FC, Izarul Adli Mohd Nasir cekap di posisinya.

Bersambung selepas rehat, The Mighty Tigers menukar corak permainan mereka untuk memberi lebih asakan terhadap gawang gol Bunga Raya Damansara.

Hasilnya, mereka berjaya mendapatkan gol pada minit ke-48 apabila Hazim Abu Zaid menanduk bola masuk ke dalam gawang gol selepas menerima hantaran daripada Ashmawi Yakin.

Kegembiraan The Mighty Tigers tidak bertahan lama apabila kapten pasukan, Nasriq Baharom dilayangkan kad merah beberapa minit kemudian apabila menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil perlawanan, P. Jeevanathan.

Kelebihan 11 pemain ini pantas dimanfaatkan oleh Bunga Raya Damansara FC apabila pemain gantian, Farid Khazali menyamakan kedudukan untuk pasukan itu pada minit ke-63.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengadil perlawanan, P. Jeevanathan kelihatan mempunyai beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan oleh penyokong kerana beberapa kasaran yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan kelihatan manpu untuk diberikan kad kuning mahupun kad merah.