PASUKAN Bunga Raya Damansara FC mencatat kekalahan pertama musim ini merupakan sorotan utama bagi perlawanan minggu ke-9 saingan Liga A1 Semi-Pro.

Pasukan yang berpangkalan di Damansara itu tumpas kepada PIB Shah Alam FC dengan keputusan 2-1.

Bunga Raya Damansara mempunyai kekuatan pemain yang lebih baik berbanding pasukan lawannya namun kelihatan agak bergelut untuk bermain hantaran pendek.

PIB Shah Alam yang menguasai perlawanan itu membuka akaun jaringan dahulu menerusi Amir Hariz pada minit ke-11 dan Mustakim Mustapha pada minit ke-32 manakala gol Bunga Raya dicatatkan oleh Ignacio Augustin pada minit ke-38.

Satu lagi keputusan menarik dapat disaksikan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung apabila Manjung City tampil cemerlang untuk menewaskan Harini FT 5-2.

Babak pertama menyaksikan Manjung City mendahului dengan tiga gol apabila C. Sasikumar, Muazzim Khalil dan Khairul Amizan berjaya membolosi pintu gol lawan.

Empat buah gol lagi terhasil pada babak kedua menerusi jaringan Sobri Hasri pada minit ke-63 dan Saifuddin pada minit ke-84 untuk Manjung City manakala jaringan Harini FT berjaya dihasilkan oleh Praviin pada minit ke-83 dan 90.

Keputusan lain Liga A1 Semi-Pro bagi perlawanan minggu ke-9, PT Athletic 3-0 UiTM United, Melaka FC 3-0 YPM FC, Bukit Tambun FC 2-0 Machan FC dan Armed Forces 0-3 Malaysian University.