PT ATHLETIC FC kembali membuktikan penguasaan apabila sekali lagi merampas takhta Liga A1 Semi-Pro kali ini selepas menewaskan pasukan Malaysian University FT (MUFT), 1-0 dalam aksi tunggal minggu ke-12 di Stadium MMU, Cyberjaya.

Selepas mendahului seketika sebelum kembali dipintas Melaka FC, skuad kendalian Nazrulerwan Makmor menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh dan juga kemenangan kelapan musim ini.

Athletic menguasai perlawanan sejak dari wisel permulaan dengan gandingan berpengalaman, Indra Putra dan Amri Yahyah dilihat tenang mengawal rentak permainan dan mengatur gerak serangan sebelum jaringab Hafiz Ramdan menjadi pemisah kedua-dua pasukan pada rehat babak pertama.

Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan PT Athletic banyak mensia-siakan peluang terhidang dengan gandingan penyerang, Amri Yahyah dan Azeez Adam serta Indra Putra gagal menyempurnakan peluang terhidang.

MUFT diberikan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir permainan selepas dihadiahkan sepakan penalti namun Zulkarnain Nasir tidak berjaya menyempurnakan apabila sepakannya ditepis penjaga gol.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan PT Athletic berjaya meraih tiga mata dan mendahului carta liga dengan 26 mata, mengatasi pencabar utama dengan kelebihan tiga mata manakala Malaysian University kekal di tangga keenam dengan 17 mata.