MAJOR Basketball League Malaysia (MBL) bersama Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) melancarkan liga profesional lelaki, yang akan membuka tirai saingan 16 November ini hingga 18 Disember depan.

Sebanyak enam pasukan akan bersaing merebut hadiah wang tunai berjumlah RM400,000, iaitu empat pasukan tempatan dan dua dari luar negara.

Setiausaha Agung MABA Tan Kee Hian berkata, langkah pertama ini penting untuk meningkatkan profail sukan bola keranjang Malaysia.

Enam pasukan akan bersaing dalam Majir Basketball League Malaysia yang bermula pada Rabu.

“Saya berharap liga ini, sebagaimana Liga Bola Keranjang Malaysia beberapa tahun lalu, akan ada perlawanan yang dimainkan di negara lain juga,” kata Kee Hian.

Dalam saingan MBL ini, setiap pasukan dibenarkan menggunakan tiga pemain import, seorang pemain import antarabangsa manakala dua lagi pemain import dalam kalangan pemain dari negara Asia Tenggara, dengan format hanya dua pemain import boleh diturunkan dalam satu-satu perlawanan.

Peminat sukan bola keranjang boleh menyaksikan perlawanan lebih dekat apabila perlawanan MBL 2022 dijalankan di tiga lokasi, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Perlawanan pusingan awal akan berlangsung di Stadium MABA, Kuala Lumpur, sebelum berpindah ke Stadium Bola Keranjang Batu Pahat, Johor dan Stadium Bola Keranjang Han Chiang di Pulau Pinang.

Pusingan akhir pula akan kembali ke Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Juara kejohanan akan memenangi hadiah wang tunai RM200,000, RM100,000 untuk naib juara dan RM50,000 untuk pasukan yang layak ke separuh akhir.