MANCHESTER United seri 1-1 di laman sendiri dengan FC Twente pada perlawanan pembukaan Liga Europa awal pagi tadi ketika Christian Eriksen menjaringkan gol tetapi kemudian melakukan kesilapan yang menjurus gol penyamaan lawan.
Pemain antarabangsa Denmark itu meletakkan United di depan dengan rembatan kencang pada babak pertama dalam cuaca hujan di Old Trafford sebelum Sam Lammers menyamakan kedudukan buat Twente pada minit ke-68 selepas Eriksen kehilangan bola.
“Kami mahukan lebih akhirnya, jauh daripada mencukupi. Mereka kelihatan lebih mahukannya – ia tidak bagus,” kata Eriksen kepada TNT Sports.
“Saya fikir setiap orang menjaga diri sendiri, setiap orang pemain bola sepak profesional, mereka tahu apa yang harus dilakukan, apa yang tidak boleh berlaku. Kami tidak kalah tetapi berasa seperti kalah.”
Pengurus United, Erik ten Hag memilih skuad terkuat menentang Twente, kelab yang mana pengendali dari Belanda itu hadir dari peringkat remaja dan beraksi dalam tiga tempoh sebagai pemain sebelum beralih kepada kejurulatihan bersama kelab Eredivisie itu.
Marcus Rashford kembali dalam kesebelasan utama selepas hadir dari bangku simpanan ketika seri 0-0 di Crystal Palace Sabtu lalu, dengan Harry Maguire menggantikan Matthijs de Ligt di benteng pertahanan manakala Manuel Ugarte mengambil alih tempat Kobbie Maino.
“Ia perlawanan pertama, amat penting anda meraih kemenangan,” kata Ten Hag.
“Kami tidak menamatkannya, kami perlu mencari gol kedua jadi mereka masih bernafas dan kami dihukum dengan kesilapan diri sendiri.
“Kami tidak boleh melepaskan gol sebegitu,” katanya.