HASRAT Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memberi tumpuan kepada pembangunan hoki 5 sebelah (5’s) nampaknya berada pada landasan tepat apabila saingan Liga Hoki 5’s Malaysia bermula Julai depan, mendapat pertambahan pasukan.

Saingan musim ketiga liga 5’s membabitkan pasukan Lelaki dan Wanita itu menerima 27 penyertaan pasukan berbanding tahun lalu, hanya 18 pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5’s dan Prestasi Tinggi, Hasnizam Hassan berkata, peningkatan itu berlaku, dibantu format yang diubah kepada saingan terbuka.

Jawatankuasa Hoki 5’s dan Prestasi Tinggi mengumumkan saingan musim ketiga Liga Hoki 5’s Malaysia di KHM, Bukit Jalil.

Menurutnya, Liga Hoki 5’s Malaysia akan bermula 16 hingga 20 Julai ini, dan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

“Kategori lelaki akan disaingi 15 pasukan manakala 12 pasukan bagi wanita yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Dari segi penyertaan pasukan, ada peningkatan berbanding hanya 11 pasukan lelaki dan 7 pasukan wanita bertanding pada tahun lalu (2023).

ANUAR Akhimullah (C)| Foto FIH

“Saya percaya, perubahan format kepada kategori terbuka ini berjaya menarik minat dan setiap pasukan perlu mendaftar tiga pemain berusia bawah 23 tahun. Peraturan ini kita tetapkan dalam usaha memastikan pembangunan pasukan bermula dari usia muda,” kata Hasnizam.

Menurutnya, bagi kategori lelaki, kumpulan A akan disaingi Pahang, Pulau Pinang, Melaka, PDRM, Perlis, Sarawak dan Perak, manakala kumpulan B pula disaingi ATM, Terengganu, Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.

Dalam pada itu, kategori wanita dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan C dan kumpulan D.

Skuad hoki 5 sebelah wanita negara ketika beraksi di Piala Dunia Hoki 5’s Wanita, Januari lalu.

Kumpulan C akan dianggotai Selangor, Pulau Pinang, PDRM, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor, semenatara kumpulan D pula membabitkan Pahang, Kuala Lumpur, ATM, Melaka, Kelantan dan Perak.

Malaysia beraksi pada edisi pertama Piala Dunia Hoki 5’s Januari lalu, berjaya muncul naib juara selepas tewas kepada Belanda pada final.

Justeru, saingan liga ini menjadi antara persiapan KHM bagi membentuk pasukan mantap untuk layak ke Piala Dunia 2028.

Skuad hoki 5 sebelah wanita negara ketika beraksi di Piala Dunia Hoki 5’s Wanita, Januari lalu.

“Walaupun Piala Dunia seterusnya hanya berlangsung pada 2028, kita perlu melakukan persediaan awal dan kami percaya, kehadiran pemain bawah 23 tahun dalam saingan liga, dapat memastikan kesinambungan selain memberi mereka sebanyak mungkin pengalaman.

“Dalam masa sama, kita juga ada menerima jemputan dari Russia dan akan menghantar pasukan lelaki dan wanita ke kejohanan jemputan pada 15 hingga 20 Ogos depan, selain liga ini bakal menjadi persiapan pasukan menghadapi Kejohanan 6th Asian Indoor and Martial Arts Games di Bangkok-Chonburi, Thailand, 25 hingga 30 November depan,” tambah Hasnizam.