KEJUARAAN Liga Hoki Malaysia 2023 ternyata cukup berbeza buat bekas kapten negara yang berpengalaman besar di pentas antarabangsa termasuk Piala Dunia Holland 2014, Mohd Shahrun Nabil Abdullah yang menjadi tulang belakang sejarah kejayaan pasukan hoki negeri kelahirannya mahupun buat negara kini terpaksa beraksi dari luar padang bagi musim ini.

Beliau yang merupakan di antara watak penting untuk merealisasikan kejuaraan berganda buat Terengganu Hockey Team (THT) pada kempen musim lalu bagi menjulang Piala Sumbangsih dan muncul Juara Liga Premier kini diberi tugas baharu untuk menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih pasukan hoki wanita Terengganu (TLHT) bagi aksi Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.

Ternyata dimensi kerjaya itu bukan laluan mudah Sharun Nabil untuk membentuk pasukan yang dibarisi rata-rata muka baharu di pentas kejuaraan hoki paling berprestij dalam negara di mana Terengganu mempertaruhkan sebahagian besar pemain dari skuad pelapis Sukan Malaysia(SUKMA) yang baru dibentuk olehnya.

“Satu cabaran yang hebat untuk saya musim ini di mana kali ini saya hadir selaku ketua jurulatih pasukan hoki wanita Terengganu. Pasukan wanita ini bukannya tidak kuat untuk beraksi di pentas Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.

“Saya yakin kemampuan anak didik saya untuk pergi seberapa jauh yang boleh. Mara ke penentuan separuh akhir adalah sasaran awal yang diletakkan. Jangan kita meletakkan satu sasaran yang tinggi namun kita terlepas penentuan separuh akhir.

“Gandingan beberapa bekas pemain kebangsaan di dalam pasukan ini juga dilihat akan menjadi kelebihan buat pasukan. Sudah pasti pengalaman mereka sebelum ini akan menjadi kekuatan buat pasukan khususnya untuk bergandingan dengan pemain-pemain muda di dalam pasukan.

“Negeri Sembilan merupakan pasukan pilihan musim ini secara tidak langsung bakal menjadi pencabar terbesar buat kami,” ujar Shahrun Nabil yang ditemui FLASH SUKAN sewaktu latihan di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Siti Rahmah Othman (kiri) galas tanggungjawab selaku penolong jurulatih pasukan hoki wanita Terengganu (TLHT) buat musim kedua bersama pasukan.

Shahrun Nabil juga turut dibantu oleh bekas pemain wanita kebangsaan Siti Rahmah Othman sebagai pembantu jurulatih untuk memperkasakan TLHT musim ini.

“Ini tahun kedua saya bersama TLHT, terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan buat jurulatih muda seperti saya ini. Sudah pasti saya berkongsi sepenuhnya pengalaman saya untuk membantu pasukan memburu kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini,” ujar Siti Rahmah Othman yang membuat penampilan terakhir sebagai pemain bersama TLHT pada musim 2020.

Terengganu mempertaruhkan sebahagian besar pemain hoki wanita yang berada dalam skuad pelapis Sukan Malaysia (SUKMA) untuk beraksi di Liga Hoki Wanita Malaysia 2023.

Selain mempertaruhkan muka-muka baharu, pada musim ini TLHT juga turut menagih kudrat beberapa bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman besar seperti Juliani Mohamad Din, Wan Norfaiezah Md Sauti, Fazilla Sylvester Silin, Surizan Awang Noh dan Mas Huzaiman Md Aziz pada musim ini.

Turut bersama pasukan adalah pemain muda yang kian meningkat naik iaitu Qasidah Najwa Muhammad Halimi yang pernah beraksi di Sukan SEA Filipina 2019 bagi acara hoki dalam dewan wanita yang menghadiahkan pingat emas buat negara.

Untuk rekod, TLHT kembali ke kancah kejuaraan musim ini setelah menarik diri bagi aksi dua musim terdahulu. Perlawanan pembukaan tirai musim ini buat TLHT akan berlangsung di laman sendiri untuk bertemu Mutiara Impian-MSSPP-PSHA di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Ahad ini jam 5 petang.