SKUAD hoki Bawah 16 Tahun (B-16) Perak dan Johor menguasai saingan awal Kejohanan Liga Hoki Remaja B-16 Kebangsaan kategori lelaki apabila masing-masing berjaya mencatat dua kemenangan.
Perak kini mendahului Kumpulan A dengan enam mata hasil dua kemenangan dari dua perlawanan selepas membenam Terengganu 1-0 dan Kelantan 4-1 dalam aksi hari pertama dan kedua kejohanan.
Johor pula berjaya bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama kepada Negeri Sembilan 2-3 untuk menang dua perlawanan berikutnya menewaskan Sabah 4-0 dan Sarawak 5-0 untuk mendahului Kumpulan B.
Sementara itu dalam kategori perempuan pula, Negeri Sembilan berjaya mendahului Kumpulan A selepas menang ketiga-tiga perlawanan ke atas Johor, Kelantan dan Kedah.
Kumpulan B pula menyaksikan Melaka unggul di carta liga selepas turut berjaya memenangi tiga perlawanan menewaskan Selangor, Kuala Lumpur dan Perak untuk mengutip sembilan mata maksimum.
Kejohanan Hoki B16 Tahun Lelaki dan Perempuan Kebangsaan ini diadakan dari 15 hingga 25 Jun dengan kejohanan ini akan digunakan sebagai medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan hoki.
Enam lagi perlawanan kategori lelaki dan perempuan akan dilangsungkan esok dengan kesemua perlawanan diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil.