SEJARAH baharu tercipta buat Kejohanan Liga Hoki Remaja Kebangsaan (MJHL) 2024 apabila sebanyak 49 pasukan mengesahkan tempat dalam pertandingan yang menjadi platform melahirkan bakat-bakat sukan hoki.

MJHL 2024 akan berlangsung dari 24 Mei hingga 29 Jun 2024 dengan rekod penyertaan tertinggi sejak 2016 yang dibahagikan kepada dua divisyen bagi kategori lelaki dan satu divisyen bagi kategori perempuan.

Kejohanan kali ini juga bakal menyaksikan 174 perlawanan dilangsungkan dengan 10 pasukan Divisyen 1 kategori lelaki akan bermain di laman sendiri manakala Kategori Perempuan akan bermain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Datuk Seri Anil Sandhu mengumumkan kejohanan Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2024

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Dr Anil Sandhu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MHC, V.Jayanandan serta Dr Mohd Fakhrul Anwar Ismail, Pengarah Kejohanan.

Pasukan-pasukan dari Divisyen 1 akan memulakan aksi pada 24 Mei 2024 manakala 22 pasukan Divisyen 2 serta 17 pasukan perempuan akan bermula pada 4 Jun 2024

Untuk musim ini, pasukan-pasukan dalam divisyen 2 akan dibahagikan mengikut dua zon iaitu Zon Utara yang melibatkan 10 pasukan akan bermain di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang manakala Zon Tengah yang diwakili 12 pasukan akan beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Sebagai rekod, untuk edisi 2023 bagi kategori lelaki, pasukan SSTMI-Thunderbolts muncul juara selepas menewaskan pasukan AHP-SSP-MSP Thunderbolts manakala pasukan MSSPP-PSHA mendapat tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan pula, SSTMI – PKS Uniten muncul juara selepas menewaskan SSNP-MSP-PKS Uniten dalam aksi final sementara Kuala Lumpur Sports School mendapat tempat ketiga.