NEGERI Sembilan sudah bersiap sedia untuk melakar sejarah sebagai pasukan pertama meraih gelaran Piala Sumbangsih Liga Hoki Wanita Malaysia yang dijadual membuka tirainya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada Khamis malam.
Jurulatihnya, K Rajan berkata, pasukan bukan saja mahukan gelaran berkenaan malah memburu tiga mata pertama saingan liga yang pastinya menaikkan lagi momentum pemain secara keseluruhan.
“Piala baharu. Siapa yang menang, sudah tentu berada dalam sejarah. Kita mahukannya. Untuk liga pula, kita menyerahkan kepada pasukan… bagaimana mereka nak terus menunjukkan peningkatan. Apapun saya yakin mereka akan pamerkan peningkatan.
“Lebih penting (esok) adalah tiga mata kerana dapat meraih trofi (Piala Sumbangsih) dan pada jangka panjang untuk gelaran liga pula. Dalam saingan liga tahun lalu, kita tak ada seri, tak ada kalah, menang dalam semua perlawanan dan kita mahu kekal begitu,” kata Rajan dalam sidang media menjelang kejohanan, pada Rabu.
Negeri Sembilan dijadual bertemu juara hatrik Piala Vivian May Soars, KPT-UNITEN Thunder yang sudah mula melakukan persiapan sejak Disember tahun lalu.
“Setakat ini, kami datang untuk mempertahankan Piala Vivian May Soars. Kami sudah menang tiga tahun berturut-turut 2020, 2021 dan 2022. Tahun ini, kami datang untuk kekalkan piala sedia ada.
“Kami juga diberi tanggungjawab daripada pihak pengurusan untuk dapatkan gelaran liga. Jadi sasaran minimum adalah dua gelaran. Bagi perlawanan esok, kita akan berikan yang terbaik, kalau rezeki menang esok, maka kami akan mengejar tiga gelaran,” kata jurulatih KPT-UNITEN Thunder, Izzwan Mohamed Salleh.
Jadual Liga Hoki Malaysia (9 Februari)
Lelaki
Nurinsafi Sporting mln UiTM HA-KPT, 8pm (Std Bertam)
Maybank mln TNB Thunderbolts, 6pm (Std Hoki Nasional 2 Bukit Jalil)
ATM mln Young Tigers, 8pm (Std Hoki Nasional 2 Bukit Jalil)
Piala Sumbangsih
TNB mln THT, 8.30pm (Std Hoki Nasional Bukit Jalil)
Wanita
Piala Sumbangsih
KPT-UNITEN Thunder mln Negeri Sembilan, 6pm