SKUAD Selangor FC kini berada dalam keadaan yang cukup baik dan bersedia untuk memulakan cabaran dalam Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 apabila berhadapan Muangthong United di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Khamis.
Pengendali pasukan, Nidzam Jamil yang ditemui ketika sesi sidang media pra perlawanan mengakui pasukannya berdepan cabaran yang besar apabila bertemu Muangthong United yang dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik di Thailand sejak 10 tahun lalu.
“Pasukan dalam keadaan yang baik dan moral pemain juga tinggi walaupun tewas pada perlawanan akhir Piala FA sebelum ini tetapi kami kini sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan Asia ini.
“Semua tahu ini adalah cabaran yang besar dengan Muangthong United adalah antara pasukan yang besar dan baik di Liga Thailand oleh itu kami perlu beraksi dengan baik dan berdisipin dan para pemain sudah bersedia dengan cabaran.
“Kejayaan kami melakar kemenangan di tempat sendiri sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan pasukan tetapi kita perlu sedar ini adalah peringkat yang berbeza dan selepas lapan tahun tidak ke Asia, ianya akan menjadi satu pengalaman yang baik,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan, Safuwan Baharudin mahu membuktikan kehadiran Gergasi Merah dalam kejohanan tier kedua kelab Asia ini bukanlah sekadar pelengkap sebaliknya mereka mahu memberikan tentangan hebat terutama pada perlawanan pertama kumpulan.
“Kami hadir ke sini untuk beraksi dengan baik dan bukan sekadar jadi pelengkap kumpulan. Dalam mana-mana perlawanan bola sepak, beraksi di laman lawan pasti sukar dan ianya satu perkara yang baik jika berjaya membawa pulang mata.
“Dari segi persiapan, kami sudah bersedia dan ianya juga bakal jadi pengalaman yang berguna buat pemain-pemain muda terutama mereka yang tidak pernah beraksi di Stadium Rajamangala dan saya jangkakan satu perlawanan yang menarik akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan,” jelas pemain kebangsaan Singapura itu.
Selangor tampil buat kali pertama di Asia sejak lapan tahun lalu dan kini diperkuatkan dengan kehadiran pemain Jordan, Ali Olwan dan penjaga gol Harimau Malaya, Kalamullah Al Hafiz bagi membawa cabaran dan nama Malaysia dalam Kumpulan H.