SELANGOR FC dilihat mempunyai laluan yang sederhana dalam Kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 selepas berjaya mengelak nama-nama besar kelab Asia selepas tamat majlis undian yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Selangor diundi dalam Kumpulan H bersama-sama naib juara Piala FA Liga Republik Korea, Jeonbuk Hyundai Motors, naib juara Piala Liga Thailand, Muangthong United dan naib juara Liga Filipina, Dynamic Herb Cebu FC.

Mengikut format pertandingan musim ini, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke peringkat 16 terbaik dan Gergasi Merah dilihat berpeluang untuk mara lebih jauh.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengakui teruja untuk melihat Selangor kembali beraksi di peringkat Asia dan akan pastikan semua pemain berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

“Kami gembira dengan undian ini dan setiap kumpulan mempunyai cabaran sendiri dan kami akan berikan yang terbaik untuk mara lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Selepas undian ini, kita akan melihat corak permainan yang ditunjukkan oleh lawan kita dari Filipina, Thailand dan Republik Korea yang mana kami cuba dapatkan seberapa banyak mata yang boleh dari kumpulan ini.

Johan Kamal Hamidon gembira dengan keputusan undian ACL2 

“Kami akan ambil satu permainan ke satu permainan dan secara realistik jika kita berjaya melepasi peringkat kumpulan pada penampilan pertama kami ianya sangat baik dan jika sudah ke peringkat seterusnya kami cuba pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian.

Selangor akan memulakan saingan ACL2 pada 19 September 2024 hingga 5 Disember 2024 dengan tiga perlawanan di tempat lawan dan tiga perlawanan tiga laman sendiri.