BINTANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi gembira apabila menjadi pemain Malaysia pertama menjaringkan gol di kejohanan Liga Juara-Juara AFC Elite selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Harimau Selatan mengikat Shanghai Port FC 2-2 dalam perlawanan pertama Peringkat Liga musim 2024-25.
Dia yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan menyatakan sememangnya ini adalah impian buat dirinya untuk bermain di peringkat tertinggi bola sepak Asia tetapi dia tidak mahu mendabik dada dan mahu meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan seterusnya.
“Kejohanan ini sangat sukar dan ini adalah impian saya untuk bermain bersama JDT di peringkat ini. Saya betul-betul bekerja keras dan berkorban kerana mahu bermain di pentas tertinggi dan akan terus berusaha untuk memastikan prestasi saya lebih baik.
“Ini adalah perlawanan yang sukar buat kami tetapi kami berikan segala-galanya dalam padang walaupun tidak bernasib baik hanya seri kerana kami mensasarkan kemenangan. Satu mata ini penting dan kami akan teruskan dalam perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemubual selepas perlawanan.
Arif Aiman meletakkan JDT dua kali mendahului Shanghai Port menerusi jaringan pada minit ke-45 dan 56 tetapi pasukan tuan rumah bangkit sebanyak dua kali untuk menidakkan JDT membawa pulang tiga mata penuh.
Beraksi buat pertama kali di peringkat elit Asia, Arif Aiman adalah antara dua pemain tempatan bersama Natxo Insa yang diletakkan dalam kesebelasan utama oleh Hector Bidoglio dengan sembilan pemain import diturunkan namun ianya bukan alasan buat pemain berusia 22 tahun itu untuk tidak menyinar.
Satu mata berharga itu meletakkan JDT di tangga kelima liga dari 12 pasukan zon Timur dan dan kini akan berhadapan Shanghai Shenhua pada perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim dan keputusan positif ini pastinya memberikan semangat tambahan buat sang Harimau Selatan.