JODOH bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bersama Malaysia sangat panjang apabila dia akan kembali ke Iskandar Puteri untuk membawa cabaran Ulsan HD bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.
Menerusi undian yang dilakukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur, JDT bakal berdepan cabaran tiga kelab Republik Korea, tiga kelab China dan masing-masing satu dari Thailand dan Australia.
Format baharu Liga Juara-Juara AFC Elite menyaksikan setiap pasukan akan bermain lapan perlawanan dengan empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan dalam satu pertandingan yang cukup kompetitif.
JDT bakal bertemu Ulsan HD FC, Buriram United, Pohang Steelers dan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim dan bertemu Shanghai Port, Central Coast Mariners, Shandong Taishan dan Gwangju FC di tempat lawan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menganggap ianya satu undian yang sangat baik buat Harimau Selatan kerana kini mereka akan berentap dengan tujuh pasukan yang berbeza sekali gus meningkatkan lagi pasukan ke tahap yang lebih baik.
“Dalam satu aspek kami berasa sangat gembira kerana dapat bertemu rakan karib kami, Ulsan HD untuk kali ketiga berturut-turut dan kami sering mempunyai keputusan yang baik bertemu pasukan dari Republik Korea.
“Ianya satu undian yang menarik kerana bukan mudah untuk bertanding di peringkat elit kelab Asia dan kami kini tidak lagi dipandang sebagai kelab yang kecil dan kami tidak sabar untuk bersaing dengan format baharu ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian.
Alistair juga mengakui pemain-pemain antarabangsa baharu yang ditandatangani diharap dapat memberikan impak kepada aksi JDT di Asia musim ini dan mereka juga telah mengenalpasti kelemahan yang ada terutama ketika beraksi di tempat lawan sebelum ini.
“Sudah tentu pemain-pemain baharu yang ditandatangani akan membantu memperbaiki skuad kami kerana aspirasi kami mahu melakukan yang terbaik bukan sahaja di Liga Malaysia tetapi juga di Asia dan kami perlu mengikut polisi kuota pemain asing kerana kami mahu memberikan kebangsaan kepada rakyat Johor dan juga Malaysia.
“Kami juga sedar kelemahan kami ketika beraksi di tempat lawan terutama apabila melibatkan perjalanan jauh tetapi kami sudah berbincang tentang perkara ini dan akan memperbaikinya bagi memastikan Asia akan melihat bola sepak Malaysia yang boleh dibanggakan,” jelasnya.
JDT sudah pasti mahu membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat elit Asia dengan Alistair sendiri mahu melihat pemain tempatan seperti Arif Aiman bersinar seperti mana yang dilakukannya beberapa musim sebelum ini.