PERTAHANAN kental Johor Darul Ta’zim (JDT), Corbin Ong senada dengan pendapat jurulatihnya, Esteban Solari yang menganggap aksi bertemu Ulsan Hyundai dalam Liga Juara-Juara AFC pada Selasa adalah penting untuk progres Harimau Selatan di kejohanan itu.
Corbin yang baharu selesai menjalani tugasan bersama skuad kebangsaan kini sudah cergas sepenuhnya dan tidak sabar untuk beraksi dengan rakan-rakan sepasukannya yang menunjukkan karakter mahu menang sekali gus mahu memberikan keputusan positif buat JDT.
“Saya senada dengan jurulatih bahawa perlawanan esok adalah sangat penting untuk layak ke peringkat seterusnya meskipun kami boleh dianggap pasukan baru dalam kejohanan ini.
“Walaupun kami pernah tewaskan mereka sebelum ini, namun banyak aspek telah berubah berbanding tahun lalu dengan Ulsan sendiri telah menambah beberapa pemain baharu dan bermain di laman sendiri.
“Kami yakin kerana karakter yang ada pada pemain dalam pasukan ini sangat bagus yang sentiasa mahu bermain untuk menang dan saya yakin kami akan beri keputusan positif dalam perlawanan esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Hotel Hyundai, Ulsan.
Corbin adalah sebahagian daripada skuad ketika JDT menewaskan Ulsan Hyundai musim lalu sekali gus mencipta sejarah layak ke peringkat 16 terbaik buat kali pertama dan kini mahu mengulangi pencapaian yang sama.
Pada sidang media yang sama, Corbin mengelak untuk menjawab soalan media tempatan yang mengaitkan dirinya dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengenai keyakinan beraksi menentang kelab Korea Selatan sebaliknya dia menyatakan dia menghormati lawan dan akan berikan aksi terbaik jika diturunkan.
JDT kini ditangga kedua Kumpulan I berkongsi tiga mata dengan Ulsan Hyundai tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan dan aksi pada Selasa di Stasium Ulsan Munsu itu pasti menjadi cabaran yang hebat buat kedua-dua pasukan untuk mencipta kemenangan.