JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terpaksa menerima kekalahan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24 selepas tewas kepada wakil Jepun, Kawasaki Frontale dalam aksi pembukaan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Anak-anak buah Esteban Solari dilihat tidak kekok berhadapan kelab gergasi Jepun dengan pemain-pemain selesa memegang bola dan menekan barisan Toru Oniki yang dipaksa berhempas pulas untuk mencari gol.
Arif Aiman Hanapi seringkali mengkucar kacirkan pertahanan Kawasaki dan nyaris mendapat sepakan penalti yang tidak diberikan pengadil dari Qatar, Abdulrahman Al Jasim sehingga terpaksa menggunakan video bantuan pengadil (VAR) untuk menyemak keputusan itu.
Penyerang berbisa Harimau Selatan, Bergson Da Silva juga berjaya menguji penjaga gol Kawasaki, Jung Sungryong menerusi sepakan dari luar petak penalti namun berjaya ditepis bagi memastikan gawangnya kekal tidak dibolosi.
Syihan Hazmi juga bertindak cemerlang dalam debutnya di ACL apabila berjaya menyelamatkan percubaan satu lawan satu Marcinho yang mendapat tepukan gemuruh daripada hampir 25,000 penyokong yang hadir.
Bagaimanapun ketika permainan separuh masa pertama hampir memasuki tambahan masa, kealpaan barisan pertahanan JDT dihukum Marcinho yang melakukan sepakan gunting untuk menjaringkan gol pembukaan buat Kawasaki Frontale.
Bersambung babak kedua, JDT hampir menyamakan kedudukan menerusi Arif Aiman tetapi sepakannya yang sudah menewaskan Sungryong sedikit melewati tiang gol.
Solari melakukan pertukaran dengan memasukkan Diogo Luis Santo menggantikan Afiq Fazail untuk menambah kekuatan serangan dengan JDT dilihat menguasai penguasaan penuh permainan pada babak kedua.
JDT terus melancarkan serangan demi serangan tetapi barisan pertahanan Kawasaki kental bertahan untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal dan tiga mata berjaya dibawa pulang ke Jepun.
Dengan kekalahan ini, JDT kini di tangga ketiga Kumpulan I selepas berakhir satu perlawanan dengan satu lagi perlawanan menyaksikan Ulsan Hyundai menang 3-1 ke atas BG Pathum di Korea Selatan.
Harimau Selatan bakal bertandang ke Pathum Thani untuk bertemu wakil Thailand itu manakala Kawasaki Frontale akan menjadi tuan rumah kepada Ulsan Hyundai pada 3 Oktober 2023.