JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan sulung dalam Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini selepas menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum 4-2 di Stadium Pathum Thani, pada Selasa.
Dalam perlawanan kedua Kumpulan I ini, tuan rumah tampil agresif dan mara ke kubu JDT sehingga memaksa Shane Lowry menarik baju Danilo Alves sebelum dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Victor Mattos Cardozo seawal m-5.
Tersentak dari lamunan, JDT segera bingkas menyamakan kedudukan seminit berselang hasil hantaran jauh Matthew Davies yang disambut menerusi larian licik Arif Aiman Hanapi menewaskan penjaga gawang, Chatchai Bootprom.
Bergson Da Silva terus membuktikan dirinya terus tajam depan gawang lawan dengan mencetak gol ke-103 penampilan buat Harimau Selatan di bumi Gajah Putih serta jaringan kedua pasukan pada m-14 dalam posisi onside hasil lorongan Heberty bagi mendiamkan seketika sorakan penyokong tegar The Rabbits.
LIGA JUARA-JUARA AFC
FT : BG Pathum United 2-4 Johor Darul Ta'zim
⚽ Victor Mattos Cardozo 4' (P), 55'
⚽ Arif Aiman Hanapi 5', 78', Bergson Da Silva 14', Juan Muniz 53'📸 : @OfficialJohor#ACL2023#BornToBeBG#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/aNsRMXctb0
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 3, 2023
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan beraksi cemerlang meskipun beraksi atas padang lembab akibat hujan sebelum perlawanan bermula.
BG Pathum memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan nyaris menyamakan kedudukan tetapi Teerasil Dangda melepaskan sepakan leret liar ke sebelah kanan tiang gol pelawat.
Menariknya, tiada sebarang petanda untuk wakil negara itu bermain secara bertahan, sebaliknya terus menguasai permainan dan Juan Muniz menambah jaringan ketiga m-53 selepas menyambar bola sepakan deras Bergson yang gagal ditangkap kemas Chatchai.
BG Pathum cuba mengurangkan defisit sejurus ketinggalan dua gol apabila tandukan tepat Victor Mattos menerjah jaring yang gagal dihalang oleh Ahmad Syihan Hazmi dua minit kemudian.
Arif Aiman sekali lagi menokok jaringan kedua peribadi menerusi gol dari sudut sukar m-78 sekali gus memastikan JDT kembali bersaing di peringkat kejohanan Asia bersama gergasi Jepun, Kawasaki Frontale yang terdahulu menumpaskan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai 1-0 di Stadium Athletics Todoroki
Pasukan bimbingan Esteban Solari itu berada di kedudukan kedua kumpulan dengan tiga mata di belakang Kawasaki Frontale, manakala Ulsan pula berada di tangga ketiga menerusi perbezaan gol dengan JDT.