JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal berhadapan dengan dua lawan yang sama dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC musim lalu apabila sekali lagi diundi bertemu Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I untuk musim 2023/24.

Selain dua lawan yang sudah diketahui, JDT bakal bertemu wakil Thailand, BG Pathum sekaligus menjadikan pertemuan yang menarik bagi dua gergasi Asia Tenggara di peringkat tertinggi kelab Asia.

Pengendali JDT, Esteban Solari gembira dengan penampilan pertamanya dalam Liga Juara-Juara tetapi tetapi berwaspada dalam cabaran yang bakal dihadapi barisan pemainnya musim ini.

 

“Meskipun kami bertemu dengan dua lawan yang sama tetapi ianya satu pengalaman baharu. Kami berjaya melakukan tugas cemerlang musim lalu tetapi ianya dalam format yang berbeza.

“Tahun ini kami akan bertemu dua kelab besar dari Jepun dan Korea Selatan serta pasukan yang kuat dari Thailand dan mereka sudah pasti menjadi pasukan pilihan dan kami akan cuba untuk bersaing dan mendapatkan mata,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis undian di AFC House, Bukit Jalil.

Solari juga gembira jika JDT berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Super pada Sabtu supaya mereka boleh mula meletakkan fokus dan bersedia untuk menghadapi Liga Juara-Juara yang bakal bermula pada September.

“Sudah pasti ianya akan membantu kami jika dapat mengesahkan kejuaraan lebih awal kerana kami boleh menumpukan perhatian kami kepada ACL yang memerlukan lebih tenaga dan kekuatan mental tetapi kami perlu kekal tenang dan mengambil satu demi satu perlawanan,” tambahnya.

Harimau Selatan yang beraksi buat kali kelima dalam peringkat kumpulan ACL bakal memulakan cabaran menentang Kawasaki Frontale pada 18 September 2023 dan pastinya mahu mengulangi pencapaian layak ke peringkat 16 terbaik musim lalu.