PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menaruh harapan untuk merampas kembali tiga mata daripada Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Namun begitu, pastinya perlawanan esok bakal menjadi satu tugasan sukar buat skuadnya kerana yakin Ulsan akan mengulangi rentak kemenangan selepas menewaskan JDT 1-3 dalam aksi 24 Oktober lalu.
“Betul kita akan menentang juara liga di Korea tapi itu bukan alasan untuk kita terlalu menghormati mereka sebaliknya boleh lihat pemain JDT mempunyai motivasi tinggi dan sentiasa fokus.
“Oleh itu, kami kena bekerja lebih keras dan pemain juga cakna dengan apa yang perlu dilakukan nanti terutama dalam pertama perlawanan kerana berdepan Ulsan memerlukan mentaliti yang kuat bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu.
“Kita juga mempunyai prestasi yang memuaskan dalam aksi Liga Super dan saingan separuh akhir Piala Malaysia, jadi kami mahu sesuatu yang membanggakan dalam saingan ACL kerana dalam permainan bola sepak semuanya perlu konsisten dan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi,” ujar beliau.
Jurulatih kelahiran Argentina itu turut menegaskan bahawa beliau akan memastikan kesebelasan pemain yang diturunkan nanti tidak melakukan kesilapan mudah yang membolehkan skuad kendalian Hong Myung-bo menguasai permainan.
“Kita banyak belajar apa yang berlaku selepas mereka jaringkan gol pada perlawanan lalu malah ia juga berlaku ketika menentang BG Pathum United dan ia tidak boleh lagi berulang kerana akan menjejaskan permainan kami.
“Walau apapun, kita perlu berusaha mendominasi permainan dan cuba bermain lebih agresif selain memperkemaskan lagi benteng pertahanan yang agak longgar supaya tidak terlalu pemurah memberi jaringan kepada pihak lawan” kata Solari dalam sidang media pra-perlawanan.
Sebelum ini, JDT pernah melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul kelab negara pertama yang melayakkan diri ke pusingan kedua ACL, selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 di laman sendiri pada 30 April 2022.