LAWAN Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) — Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai mengakui mereka bakal berdepan tugas yang sukar apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim kerana atmosfera hebat yang dihasilkan penyokong setia JDT.

Pengurus Pasukan Kawasaki Frontale, Kazuo Yoneda tidak dapat melupakan kekecewaan tersingkir dari ACL musim lalu dan menganggap mereka akan mengalami kesukaran apabila beraksi di gelanggang Harimau Selatan atas dua faktor iaitu penyokong dan padang.

“JDT adalah pasukan yang bagus dan kami jangkakan dua perlawanan yang sukar menentang mereka terutama apabila bermain di Stadium Sultan Ibrahim kerana penyokong mereka begitu bersemangat dan stadium mereka juga mempunyai kualiti padang yang sama seperti kami di Jepun,” katanya ketika ditemui di majlis undian rasmi.

Kazuo Yoneda, Pengurus Kawasaki Frontale

Perkara yang sama turut dikongsi pegawai media pasukan Ulsan Hyundai, Kang Han yang mengakui bukan mudah untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim kerana sorakan tanpa henti dari para penyokong JDT seperti apa yang mereka lalui musim lalu.

“JDT adalah satu pasukan yang hebat dan stadium mereka mempunyai atmosfera cukup baik dengan lebih 10,000 penyokong yang hadir pada setiap perlawanan. Ia akan jadi sukar buat kami kerana mereka akan bersorak tanpa henti sepanjang 90 minit,” katanya ketika ditemubual media tempatan.

Kang Han, Wakil Ulsan Hyundai

Satu lagi pesaing JDT dalam Kumpulan I, BG Pathum dari Thailand pula menganggap mereka adalah pasukan kecil dan ini adalah peluang buat pemain-pemain belajar sesuatu daripada kelab-kelab besar dalam kumpulan dengan ini.

“Kami adalah pasukan kecil dalam kumpulan itu jika dibandingkan dengan Ulsan, Frontale dan Johor. Oleh itu ianya akan menjadi satu cabaran buat jurulatih, pemain dan juga pegawai pasukan ini.

Pengurus BG Pathum, Samai Seeyango

Kami akan cuba yang terbaik untuk layak ke pusingan seterusnya tetapi ia tidak mudah,” kata Pengurus Pasukan, Samai Seeyango yang ditemui pada sidang media yang sama.

Format ‘home and away’ yang kembali diadakan bakal menyaksikan pertemuan menarik keempat-empat pasukan dengan masing-masing cuba mencari mata maksimum terutama ketika bermain di laman sendiri kerana sedar kesukaran bermain di gelanggang lawan.