KELAB gergasi Iran, Sepahan SC tidak bimbang dengan perbelanjaan yang dilakukan kelab-kelab Arab Saudi yang menandatangani pemain bintang dunia malah tidak sabar untuk bertemu dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24.
Sepahan, naib juara Liga Pro Iran 2022/23 bakal mengetahui lawan mereka di peringkat kumpulan Zon Barat pada majlis undian rasmi yang akan diadakan di AFC House, Bukit Jalil pada Khamis.
Skuad bimbingan Jose Morais itu diletakkan dalam balang 2 Zon Barat dan boleh diundi bertemu dengan tiga kelab dari Arab Saudi — Al Hilal, Al Ittihad dan kelab yang diwakili Cristiano Ronaldo, Al Nassr.
“Kami gembira kerana kelab ini memohon lesen untuk bertanding di kejohanan ACL kerana ianya adalah kejohanan antarabangsa terbesar buat kelab-kelab di Asia.
“Apa yang terjadi di Arab Saudi tidak mengubah kelab kami dan kami tidak kisah siapa pun yang diundi sebagai lawan di peringkat kumpulan nanti kerana pada kami semua kelab berupaya untuk meraih kemenangan,” kata Ketua Perhubungan Antarabangsa Sepahan SC, Hamid Asfa.
Asfa yang ditemui FLASH SUKAN ketika majlis menandatangani lanjutan kerjasama dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu juga mengalu-alukan kehadiran kelab lawan ke Esfahan untuk merasai suasana hari perlawanan yang mengujakan.
“Berkaitan kelab Arab Saudi, sekarang adalah peluang terbaik buat mereka yang mempunyai pemain seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Neymar tetapi dalam kejohanan ini, semua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mendapatkan mata dan layak ke peringkat seterusnya.
“Kami gembira kerana pernah bermain dengan kelab-kelab Arab Saudi sebelum ini di venue neutral atau secara berpusat dan kini ACL kembali dijalankan secara ‘home and away’ dan mereka akan hadir ke stadium kami yang mempunyai 75,000 tempat duduk.
“Kelab kami juga percaya mana-mana pasukan yang datang ke Esfahan akan menikmati satu perlawanan bola sepak yang bersemangat dan mengujakan di dalam stadium yang penuh,” jelasnya.
Sepahan SC yang akan beraksi buat kali ke-13 dalam kejohanan kelab terbesar Asia telah meletakkan sasaran untuk muncul juara kejohanan ACL musim ini berdasarkan kualiti yang ada pada kelab itu ketika ini.
“Memenangi kejohanan sudah menjadi sebahagian daripada identiti kelab kami oleh itu berdasarkan keadaan sekarang dengan pemain dan barisan kejurulatihan yang terbaik kami mensasarkan untuk muncul juara Liga Juara-Juara AFC musim ini,” katanya.
Sepahan SC adalah satu-satunya pasukan dari Iran yang pernah menyertai Kejuaraan Piala Dunia Kelab FIFA pada 2007 selepas muncul naib juara Liga Juara-Juara AFC pada tahun yang sama.